Tangkap layar gambar motosikal ditunggang mangsa remuk selepas dilanggar sebuah kereta di LPT malam tadi

KUANTAN – Seorang wanita pengajar akademi memandu maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta di kilometer 240.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini malam tadi.

Dalam kenyataannya, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku kira-kira pada pukul 8.30 malam.

Menurutnya, kejadian membabitkan motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna merah ditunggang Nur Ashikin Ibrahim, 29 dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios warna kelabu dipandu A.Wahab Hamzah.

“Siasatan awal dan keterangan saksi mendapati, motosikal dan kereta Vios itu dari Arah Kemaman menghala ke Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika motosikal sedang bergerak lurus di lorong kanan, tiba-tiba ia dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas lalu dilanggar dari belakang oleh kereta Vios yang turut berada di lorong kanan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

Akibat kemalangan tersebut, Wan Mohd Zahari berkata, Nur Ashikin mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Zon Merah Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan.

Pemandu kereta Vios terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan berlaku kemalangan,” Jelas Wan Mohd Zahari.

Tambahnya, semakan turut mendapati pemandu kereta terbabit mempunyai enam saman berkaitan kesalahan pandu laju yang belum diselesaikan.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette