KUANTAN – Seorang lelaki meninggal dunia selepa,s mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Galing, di sini, semalam.

Dalam kenyataannya, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan kejadin pada jam 7.09 malam.

“Mangsa yang merupakan pekerja logistik sebuah syarikat di daerah ini memulakan pendakian bersama tiga yang lain pada pukul 9 pagi.

“Apabila sampai di puncak pada kira-kira jam 11 pagi, mangsa dilihat dalam keadaan lemah dan mengalami sesak nafas sebelum meminta bantuan pendaki lain untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu


Menurut Wan Mohd Zahari, seramai tujuh orang anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat kejadian sekitar pada 1.10 tengah hari dan menyalurkan bantuan awal oksigen kepadanya.

Katanya, pihak bomba telah membawa turun mangsa menggunakan strecher, namun ketika dalam perjalanan turun ke kaki bukit lelaki itu mengadu sakit di bahagian dada dan seterusnya tidak sedarkan diri.

“Usaha menurunkan mangsa mengalami kesukaran ekoran laluan yang curam dan memakan masa hampir 3 jam untuk sampai dikaki bukit,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa Mohammad Zakaria Ahmad, 32 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 7.20 malam

“Pemeriksaan awal yang dijalankan tiada sebarang unsur perlakuan jenayah yang berlaku ke atas mangsa dan jenazahnya kemudian telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan kenderaan pasukan untuk disimpan sementara di dalam peti mayat,” katanya. – MalaysiaGazette