Kawasan sekitar Bayan Baru dilanda banjir kilat hari ini susulan hujan lebat lebih dua jam.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji dan menilai pelaksanaan serta keberkesanan semua rancangan tebatan banjir (RTB).

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ia susulan banjir kilat dilaporkan berulang kali  dalam daerah Barat Daya sekiranya hujan lebat lebih dua jam.

Jelas beliau, RTB baru perlu dirangka dengan berkesan oleh pasukan khas itu selain memastikan dana dalam rancangan berkenaan digunakan secara telus bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang pernah mengumumkan beberapa rancangan tebatan banjir yang menelan kos tinggi di kawasan Barat Daya tetapi masalah itu masih kekal.

Oh Tong Keong.

“Jadi timbul persoalan ke mana peruntukan kerajaan itu digunakan dan mengapa rancangan tebatan banjir yang dikatakan itu tidak berkesan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, tiga projek tebatan banjir masing-masing di Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan sepanjang Jalan Tun Dr Awang hingga sungai di kawasan Relau dan Bayan Baru pernah diumumkan kerajaan negeri pada 2016.

“Projek itu masing-masing menelan kos sebanyak RM3 juta, RM3.17 juta dan RM1.3 juta; satu lagi projek adalah penambahbaikan sungai Balik Pulau dengan kos RM2.2 juta dan jumlah keseluruhan projek itu adalah hampir RM10juta.

“Pelaksanaan ini bukan hanya menunjukkan kegagalan kerajaan Pulau Pinang dalam menangani isu banjir malah turut menggambarkan terdapat kelemahan dalam kerja pengurusan dan pemantuan projek awam,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengambil tindakan segera menyelesaikan isu banjir kilat sebelum tamat tempoh jawatannya sekali gus membuktikan sumbangan baik kepada rakyat negeri ini.

Terdahulu, beberapa kawasan sekitar Bayan Baru dan Bayan Lepas dilaporkan banjir kilat  hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Kejadian banjir kilat di kawasan itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun terutamanya selepas hujan lebat. – MalaysiaGazette