Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat mencemar duli ke Malam Gala sempena sambutan 25 tahun UiTM sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2024.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah meraikan ulang tahun ke-25 sebagai sebuah universiti pada 28 Ogos lalu.

Malam Gala Jubli Perak itu cukup bermakna buat warga universiti ini selepas transformasi nama kepada sebuah institusi dari Institut Teknologi MARA kepada UiTM pada 26 Ogos 1999 di Stadium Melawati, Shah Alam.

Momen indah ini disambut bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC).

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud;  Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Dengan tema Glitz & Glam, Malam Gala ini diraikan dengan meriah, apatah lagi a mengumpulkan graduan kelahiran universiti ini – dari lulusan Dewan Latehan RIDA, ITM dan UiTM.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melakukan lafaz perasmian Malam Gala sempena sambutan 25 tahun UiTM di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2024.

Malam Gala ini bukan sambutan biasa tetapi simbolik kepada kesungguhan dan komitmen UiTM melahirkan generasi yang berjaya dan kalis masa depan sepanjang 25 tahun.

UiTM adalah institusi pengajian tinggi awam terbesar di Malaysia, menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini.

Ia memiliki 34 kampus, empat kolej pengajian, 14 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara.

Sebagai universiti terbesar, UiTM menawarkan 500 program akademik di peringkat Asasi, Pra diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, serta Program Profesional.

Antara pencapaian terhebat, UiTM berada pada kedudukan 587 dalam QS World University Rankings 2025, kedudukan ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024, serta berada pada kedudukan dalam 599 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024, ke-151 di Asia dan ke-13 di Malaysia.

Subjek Hospitality and Leisure Management pernah berada pada kedudukan ke-42 terbaik di dunia daripada 13 subjek UiTM lain yang tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Monumen Hasrat pada Malam Gala sempena sambutan 25 tahun UiTM di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2024.

UiTM turut berada pada kedudukan 101-200 dalam penarafan Times Higher Education Impact Rankings 2023 dan menerima anugerah 3G SDGs Championship Award 2022.

Pada Jun 2022, UiTM dipilih sebagai penerima Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award 2022 kali ke-12 bagi kategori Universiti Awam dan untuk pertama kalinya menerima anugerah The BrandLaureate BestBrands Awards 2022 – The Nation’s Pride Higher Education.

Dalam UI GreenMetric World University Rankings 2023, UiTM mencapai kedudukan ke-111 dengan lonjakan 17 anak tangga daripada kedudukan ke-128 pada tahun lepas.

Tempoh 25 tahun bukanlah jangka masa pendek, justeru Malam Gala UiTM itu telah memanifestasi kejayaan, komitmen dan kelangsungannya memajukan mahasiswa Melayu dan bumiputera di persada dunia.

Mengambil kata-kata Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menerusi ucapannya,  Malam Gala tersebut bukan sekadar pencapaian tetapi masa yang tepat untuk memperbaharui semangat bagi memajukan institusi pengajian berkenaan.

“Marilah kita raikan kejayaan ini dan memperkukuhkan ukhuwah demi mengangkat UiTM ini ke tahap yang lebih tinggi, demi anak bangsa yang tercinta,” katanya.

Sudah tentu Malam Gala itu cukup bermakna kepada 14 orang alumni pertama Dewan Latehan RIDA dari tahun 1960 hingga 1964.

Pada malam itu, UiTM juga mengiktiraf kejayaan Datuk Mohd Syafiq Abdullah, alumni Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Alumni Muda Harapan pada Majlis Alumni Universiti Awam 2024, serta  Datuk Sr Rosli Atan, pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi Ihsan Malaysia, alumni Kolej Alam Bina, yang dicalonkan untuk Anugerah Alumni Kedermawanan pada perhimpunan alumni universiti awam baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) melihat penyampaian sijil Malaysia Book of Record (MBOR) daripada wakil MBOR, Jwan Heah (kanan) kepada Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib (kiri) pada Malam Gala sempena sambutan 25 tahun UiTM di Dewan Agung Tunku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 28 OGOS 2024.

Sempena sambutan ke-25  ini, UiTM telah melaksanakan pelbagai program, termasuk program kayuhan kapsul yang mencatat rekod Malaysia Book of Records sebagai The Longest Distance University Cycling Convoy dengan jarak keseluruhan 1,929.51 kilometer.

Program ini berlangsung pada 20 Jun hingga 2 Julai 2024 melibatkan perjalanan merentasi cawangan UiTM di Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk mengumpulkan hasrat dan harapan warga kampus untuk disimpan di sebuah monumen yang dibina di perkarangan DATC.

Hasrat yang dimasukkan ke dalam kapsul ini melambangkan aspirasi warga UiTM terhadap kejayaan universiti ini dalam 25 tahun akan datang. Kapsul itu kemudian disimpan di dalam Monumen Hasrat yang terletak di perkarangan DATC sebagai simbolik.

Malam Gala itu telah dimeriahkan dengan persembahan pelakon dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli, juga alumni UiTM. Beliau merupakan antara mahasiswa terawal selepas pengisytiharan nama UiTM  pada 26 Ogos 1999.

Meskipun Malam Gala itu sudah berakhir tetapi Agenda Memperkasa Pendidikan Melayu dan Bumiputera masih kekal penting untuk UiTM.

Seperti ucapan Fadillah, penubuhan UiTM yang unik akan terus memacu usaha memartabatkan bangsa Melayu dan bumiputera. – MalaysiaGazette