Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalan Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyerbu tujuh kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ yang dibawa masuk secara haram dari luar negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil risikan mendapati kilang itu telah beroperasi sejak awal tahun ini di sekitar Teluk Gong, Klang Selatan.

“Siasatan kami mendapati, kilang yang disyaki dimiliki oleh pemilik berbeza ini dipercayai mempunyai jaringan kerjasama dan mengaut keuntungan puluhan jutaan ringgit menerusi kegiatan haram ini.

“Hasil serbuan pada 2 September lalu oleh pasukan Perisikan Siasatan Khas (WCB) JKDNKA ini telah mengesan pelbagai kesalahan oleh kilang-kilang itu termasuk gagal mengemukakan dokumen yang sah untuk menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik secara sah di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di kesemua premis itu berjaya membawa kepada penahanan seramai lima warga tempatan yang telah memainkan peranan sebagai penyelaras dan koordinator yang mengambil untung mencecah jutaan ringgit menerusi aktiviti haram tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman hari ini.

Tambah beliau, dalam operasi sama, pemeriksaan lanjut di dalam kilang itu turut membawa pasukan kepada tangkapan 31 warga asing berusia antara 25 hingga 60 tahun.

Katanya, siasatan lanjut pihaknya juga mendapati kesemua warga asing yang diberkas di kilang itu memainkan peranan dengan membawa masuk teknologi dan bahan kimia dari luar negara untuk aktiviti pemprosesan e-waste di kilang-kilang tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan juga berjaya menemui sejumlah bahan-bahan elektrik kitar semula yang dikategorikan sebagai e-waste sedang diproses untuk mendapatkan logam berharga seperti tembaga, besi, timah dan peralatan lain yang digunakan untuk proses peleraian.

“Dalam operasi berkenaan, Pasukan khas PDRM dan JAS berjaya merampas 19,203 guni barang kitar semula, 71 unit mesin, 630 guni pelbagai jenis logam (tembaga, besi, aluminium, timah), 20,576 tin mengandungi pelbagai jenis serbuk, 600 tan barangan e-waste yang belum dan sudah diproses, 765,000 kilogram (kg) tembaga, 16,000 kg aluminium serta barangan lain dianggarkan bernilai RM97,001,460.00,” ujarnya.

Mohd Yusoff berkata, risikan mendapati jaringan pemprosesan e-waste secara haram ini membawa masuk barangan yang didaftarkan sebagai besi skrap ke dalam negara namun barangan sebenar yang dibawa masuk adalah sisa elektronik iaitu ‘e-waste’.

“Kebiasaannya premis kilang haram pelupusan barangan sisa elektronik seperti ini hanya akan diwujudkan di lokasi berhampiran sesebuah pelabuhan besar.

“Dalam kes kali ini aktiviti rangkaian kilang-kilang yang diserbu ini membawa masuk barang-barang sisa elektronik berkenaan melalui Pelabuhan Klang,” ujar beliau.

Katanya, JAS dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan mengambil tindakan sewajarnya dengan mengeluarkan notis penutupan dan menyita peralatan dalam kesemua tujuh kilang tersebut bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

“Kesemua individu yang ditahan dalam serbuan itu dan juga hasil rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 22, Seksyen 25, Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 101(1)(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya. – MalaysiaGazette