Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas perasmian Teknologi RT-Eco di Seri Morib Palm Oil Mill, Banting, Selangor.

BANTING – Kerajaan tidak akan membiarkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia terjejas hanya kerana tidak menjaga kemampanan pengeluaran komoditi itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, eksport minyak sawit banyak bergantung kepada pembeli atau pengimport komoditi yang sangat menitikberatkan kepada penjagaan alam sekitar.

“Senario hari ini, dunia bercerita soal penjagaan alam sekitar dan pelepasan karbon, ia menjadi salah satu kriteria pembeli atau pengimport minyak kelapa sawit. Mereka nak betapa mampannya pengeluaran minyak sawit Malaysia.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, komitmen kita kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“Kalau kita tidak mampan, tiada siapa nak beli (minyak sawit), bila tiada siapa nak beli, ia akan menjejaskan eksport kita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Teknologi RT-Eco di Seri Morib Palm Oil Mill, di sini.

Turut hadir, Presiden MIC yang juga Pengerusi Meru Jaya Pome Solution Sdn Bhd, Tan Sri Dr SA.Vigneswaran.

Johari juga berkata, kerajaan pada masa ini tidak lagi membenarkan mana-mana pihak membersihkan hutan bagi memberi laluan kepada penanaman kelapa sawit bagi memastikan kemampanan pengeluaran komoditi itu.

“Komitmen kita kepada PBB bahawa liputan hutan kita tidak boleh kurang dari 50 peratus dan sekarang kita capai 54 peratus.

“Sebab itu kita tak benarkan lagi orang pergi tebang hutan nak tanam kelapa sawit, tak boleh, kalau dia buat juga, kelapa sawit itu tidak boleh dibeli oleh kilang.

“Kalau dia beli buah sawit itu, menyebabkan kilang itu sendiri kehilangan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya.

Menurutnya, Malaysia mengeksport 15 juta metrik tan produk sawit dengan nilai dagangan RM105 bilion pada 2023.

“Bila kita eksport, kita dapat bawa balik dolar Amerika, sebab banyak dagangan menggunakan ASD.

“Ini secara tidak langsung akan mengukuhkan kita punya mata wang,” kataya lagi. – MalaysiaGazette