Gambar : Jabatan Penerangan Daerah Pekan

KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel buangan berminyak dan berbau yang disyaki dibuang ke dalam Sungai Teritip, di tepi jalan utama Pekan-Rompin sehingga mengakibatkan pencemaran di lokasi tersebut.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pekan, siasatan dilakukan bermula 1 September lepas susulan aduan bau busuk yang diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan.

“Sepasukan pegawai penyiasat JAS bersama pihak HAZMAT Bomba telah hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta pengujian in-situ di sekitar tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati bau busuk tersebut berpunca daripada buangan berminyak dan berbau, yang disyaki dibuang terus ke dalam Sungai Teritip, di tepi jalan utama Pekan-Rompin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya, gerak kerja bagi menangani kes pencemaran itu telah diaktifkan berikutan terdapat penempatan berhampiran dengan lokasi kejadian.

Selain JAS, pihak HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang juga telah menjalankan pemantauan udara dan gas bagi menentukan tahap keselamatan udara di sekitar kawasan terjejas.

Gambar: Pejabat Penerangan Daerah Pekan

“Hasil pemantauan udara di semua lokasi sekitar tempat kejadian termasuk di Sungai Teritip mendapati bacaan udara berada pada paras normal.

“Kerja-kerja pembendungan alur air juga telah siap dilaksanakan oleh JPS Pekan, mengambil kira penilaian arah aliran air Sungai Teritip, dan kini sedang dalam peringkat tindakan kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas,”tambahnya.

Bagaimanapun, penduduk berhampiran dinasihat untuk memakai pelitup muka dan tidak menangkap ikan di alurair kawasan tersebut.

Sekiranya penduduk mengalami gejala gatal-gatal kulit, mata berair, sesak nafas dan loya serta pening kepala, mereka dinasihat untuk hadir atau menghubungi Klinik Kesihatan Nenasi segera.

 “Siasatan bagi mengesan penjenayah alam sekitar ini sedang giat dijalankan.

“Maka, kepada orang ramai yang melalui Jalan Nenasi terutamanya kawasan Sungai Teritip pada 30 Ogos 2024 (Jumaat) sekitar jam 6 petang hingga 8 malam dan mempunyai rakaman Dashcam, adalah dipohon untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi JAS di talian 09-5730636atau 019-9151953,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN 

Penduduk risau dakwaan berlaku pencemaran sungai di Pekan