Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad berbual mesra dengan Panel Penasihat SG4, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta empat menteri besar kerajaan negeri pembangkang pada Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, Selangor. Foto SADIQ SANI, 02 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan kelibat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) yang berlangsung di Bangi, dekat sini, Isnin lalu, terus mencetuskan persoalan.

Lebih menghairankan, menurut Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, SG4 melantik bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Ketua Panel Penasihat.

Sedangkan, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu menambah, Pejuang tidak pernah menganggotai PN dan Dr. Mahathir kini juga tidak lagi mempunyai kekuatan politik.

Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

“`Pelik bin ajaib’, perkara sebesar Sidang Kemuncak SG4 yang dianjurkan oleh 4 Negeri PN tidak menjemput YB TSMY (Muhyiddin) yang merupakan selaku Pengerusi PN.

“Nak tanya sikitlah, Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan ini adakah kerajaan Pas atau PN? Keliru dibuatnya? Tak berkecil hati ke pemimpin dan ahli-ahli Bersatu dan Gerakan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Gulam Muszaffar, ketiadaan pada Sidang Kemuncak SG4 itu  memperlihatkan peranan dan fungsi Muhyiddin selaku Pengerusi PN seolah-olah semakin disisihkan sedikit demi sedikit.

Malah, beliau turut melahirkan rasa kasihan kerana menyifatkan SG4 seperti langsung tidak mempedulikan input dan cadangan yang sepatutnya boleh diberikan oleh Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri.

“Akhir kata, muhasabah dirilah YB TSMY (Muhyiddin), mungkin dalam masa terdekat dan tidak terkejut parti Bersatu bukan lagi diperlukan dan diharapkan oleh kepimpinan Pas kerana isu dan masalah yang sedang melanda parti Bersatu dewasa kini yang bakal meletuskan lahar apinya pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, Gulam Muszaffar mempersoalkan sepanjang UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara termasuk sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak pernah mencadangkan model perniagaan seperti SG4.

“Siapa ingat isu kawalan royalti minyak Terengganu dijadikan wang ehsan dan tidak diagihkan secara telus. Yang ada pun zaman beliau cuma ada perjanjian antara negeri dalam menjalinkan kerjasama seperti pengurusan hasil bumi seperti air dan mineral,” katanya. – MalaysiaGazette