Ka Siong dan Syed Hussien bertemu orang ramai ketika berkempen di Cawan Mas Cafe, Kluang, hari ini

KLUANG – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin tidak perlu mencampuri urusan parti lain terutama dakwaan DAP hanya dijadikan alat UMNO untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dakwaan itu dikeluarkan untuk melemahkan semangat jentera parti dan bertujuan mengelirukan pengundi.

“Jangan jaga tepi kain orang, jaga parti masing-masing. Kita akan kerja kuat untuk memenangkan calon kita. Saya tak kisah apa mereka cakap atau pihak sana beri pandangan.

“Itu memang tugas dia untuk melemahkan semangat kita tetapi sudah berkali-kali PRK kita sudah berjaya (menang).

“Kita tidak gentar dan yang peting kita kerja kuat dan merendah diri memohon doa dan restu setiap pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membantu Syed Hussien berkempen di Cawan Mas Café di sini hari ini.

Azman ketika sesi ceramah pada hari pertama kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah di sini malam kelmarin, menyeru masyarakat Cina di DUN Mahkota menolak parti DAP yang dikatakan sekadar alat UMNO untuk mendapatkan undi BN.

Dakwanya, UMNO memerlukan jentera-jentera DAP untuk kempen kepada pengundi-pengundi Cina supaya mengundi calon UMNO  dan BN.

Bagaimanapun Azman percaya orang Cina di DUN Mahkota ini cerdik dan sudah pun sedar penipuan dibuat oleh pemimpin DAP.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.- MalaysiaGazette