Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Ambulan kepada Pengarah Hospital di perkarangan Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

KUANTAN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerahkan 45 buah ambulans bagi kegunaan fasiliti kesihatan di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, penyerahan tersebut dilakukan secara berperingkat bermula 21 Ogos lepas hingga Julai 2025.

“Terima kasih kepada pihak KKM hari ini kita menyerahkan lapan ambulans jenis A yang bernilai RM3.7 juta kepada hospital di beberapa daerah.

“Dalam masa terdekat kita akan menerima lagi ambulans jenis B untuk hospital dan klinik kesihatan di seluruh daerah di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Ambulan kepada Pengarah Hospital di perkarangan Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail

Pada majlis tersebut, Wan Rosdy menyerahkan ambulans kepada Pengarah Hospital Pekan, Hospital Bentong, Hospital Lipis dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (Cameron Highlands), Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Temerloh).

Menurut Wan Rosdy, ambulans jenis A terbabit dianggarkan bernilai RM455,000 sebuah dan dilengkapi dengan kemudahan canggih tiga dalam satu termasuk boleh terus menyalurkan data berkaitan pesakit kepada hospital. – MalaysiaGazette