Pengarah Wista Sehati Trading (M) Sdn. Bhd. Ahmad Humaizi didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas gagal mengemukakan permohonan bertulis berhubung pemasangan peralatan pembakaran dan kawalan pencemaran udara, Januari lalu.

MELAKA – Sebuah syarikat penstoran buangan terjadual e-waste didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas gagal mengemukakan permohonan bertulis berhubung pemasangan peralatan pembakaran dan kawalan pencemaran udara, Januari lalu.

Hakim Azaraorni Abd. Rahman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah Orang Kena Saman (OKS), Wista Sehati Trading (M) Sdn. Bhd. yang diwakili pengarah syarikat itu, Ahmad Humaizi Mahat, 46.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa gagal mematuhi tiga syarat laporan Penilaian Impak Alam Sekitar iaitu gagal memperoleh terlebih dahulu kebenaran bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ia diperlukan sebelum pembinaan premis dan pemasangan peralatan serta gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis sebelum atau selepas pemasangan alat pembakaran dan alat kawalan pencemaran udara.

Selain itu, syarikat tersebut turut gagal mendapatkan lesen sebelum premis berkenaan diduduki dan mula beroperasi.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10.38 pagi hingga 1.30 petang 24 Januari 2024 di premis Wista Sehati Trading (M) Sdn. Bhd., Lot 64, 65 dan sebahagian lot 1629 di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan OKS boleh dipenjara mandatori sehingga lima tahun serta denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM1 juta mengikut Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta yang sama.

Bagaimanapun, OKS melakukan kesalahan sebelum pindaan akta pada 7 Julai 2024 yang mana memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan di premis OKS mendapati peralatan pembakaran bahan api dan alat kawalan pencemaran udara seperti penapis beg, scrubber dan heat exchanger telah siap dipasang tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS Melaka.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JAS Melaka, Elbyta Rozana Mohd. Hatta mencadangkan hukuman berat dan berbentuk pengajaran kepada OKS.

Ahmad Humaizi bagaimanapun dalam rayuannya memohon denda rendah dengan alasan pendapatan syarikat terjejas kerana tidak beroperasi ketika pandemik Covid-19 selain telah membelanjakan RM1.6 juta bagi mematuhi syarat ditetapkan JAS.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM20,000 dan OKS membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette