Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pengurus syarikat swasta terpaksa berputih mata apabila kerugian sebanyak RM108,750 wang simpanannya akibat ditipu individu yang menyamar sebagai polis pada 2 September lepas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada Pegawai Kementerian Komunikasi (SKMM) dan menyatakan bahawa dia terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

“Panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai Pegawai Polis.

“Katanya, suspek akan membantu dia dengan membersihkan wang dalam akaun simpanan melalui bantuan pihak Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Yahaya Othman

Percaya dengan kata-kata ‘polis’ itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 38 tahun telah memberikan maklumat perbankan dalam talian miliknya bagi tujuan siasatan.

Namun, mangsa mula menyedari ditipu setelah melihat wang dalam akaun banknya berkurang dan mendapati terdapat 16 transasksi dibuat tanpa pengetahuannya sehingga mengalami kerugian sebanyak RM108,750

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette