KUALA LUMPUR – Geng Tongkol dalang 13 jenayah pecah masuk sekolah di sekitar ibu kota dan Selangor tumpas apabila polis memberkas empat anggotanya dalam kalangan warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, keempat-empat lelaki yang berumur antara 18 hingga 20 tahun itu diberkas di dua buah lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dua hari selepas memecah masuk Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Taman Bukit Maluri pada 16 Ogos lalu.

“Ketika kejadian jam lebih kurang 10.28 pagi, pihak polis telah menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan berkenaan insiden pecah pejabat sekolah yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri Kepong.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 16.08.2024 jam lebih kurang 8.00 pagi, semasa sedang bertugas, pengadu telah menerima pesanan ringkas dari aplikasi WhatsApp menyatakan pejabat sekolah telah dipecah masuk dan menyebabkan kerugian wang tunai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barangan termasuk wang tunai kira-kira RM1,300 serta sebuah motosikal dengan jumlah keseluruhan RM15,000.

Katanya, siasatan mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambah beliau, kesemua mereka direman di IPD Sentul bermula 21 hingga 29 Ogos yang lalu.

“Kini kesemua tangkapan tersebut telah diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi membantu siasatan kes. Susulan dari operasi yang dijalankan ini.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah masuk sekolah,” tambahnya.

Pada  sidang media sama, Ahmad Sukarno turut memaklumkan tangkapan Geng Thami Cermin Kereta.

Geng yang terdiri dua lelaki ini dalang kepada 20 kes pecah cermin kereta sekitar ibu kota.

Ahmad Sukarno berkata, keberhasilan pasukannya bermula susulan insiden pecah cermin kereta yang berlaku di Taman Commercial Park pada 29 Ogos lalu.

Jelasnya, selain cermin pintu belakang kereta yang dipecahkan, mangsa turut kehilangan komputer riba yang dicuri dua anggota geng berkenaan.

“Jam lebih kurang 10.32 malam, pengadu telah meletakkan kenderaan jenis Honda BRV di parkir kereta dan menuju ke kedai makan berhampiran. Setelah selesai, pengadu telah kembali semula ke kereta beliau dan mendapati cermin pintu belakang sebelah kiri telah dipecahkan dan beg laptop jenama Acer Predator yang mengandungi data peribadi pengadu dan maklumat penting serta wayar pengecas laptop didapati telah hilang.

“Pada 2.9.2024 jam lebih kurang 4.30 petang sehingga jam 10.00 malam, pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Darah Sentul telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing (Pakistan) berumur 50 tahun yang terlibat dalam kes ini,” tambahnya.

Katanya lagi, nilai rampasan dan kerugian akibat perbuatan jenayah tersebut adalah sebanyak RM60,000.

“Pihak polis telah merampas sebuah motosikal berserta anak kunci, dua buah lampu suluh, sebatang pemutar skru mata leper, lima helai baju, dua helai seluar, sepasang kasut yang dipakai oleh suspek ketika kejadian, serta enam buah telefon bimbit, 18 buah komputer riba, enam buah hard disk dan dua buah beg komputer riba pelbagai jenama,” ujar beliau.

Ahmad Sukarno berkata, kes pecah tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi dari kenderaan.

Beliau berkata, dua suspek tersebut direman tiga hari bermula 3 September lalu.

“Hasil semakan mendapati suspek utama mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya lagi.-MalaysiaGazette