Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low.

KUALA LUMPUR – MCA akan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak khususnya kementerian dan agensi berkaitan bagi menggalakkan penyertaan generasi muda dalam sektor awam serta badan beruniform.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, usaha berterusan itu juga khususnya bagi menarik penyertaan generasi muda dalam kalangan bukan bumiputera.

Jelas beliau, usaha itu sudah digerakkan MCA sebelum ini termasuk institusi pendidikan yang diasaskan oleh MCA iaitu Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Saya yakin, kejayaan graduan TAR UMT seperti Leftenan Muda Chan Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja yang telah berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK) pada April lalu menjadi dorongan serta pembakar semangat kepada ramai generasi muda untuk bersama dalam perkhidmatan awam.

“Semoga impian murni kita ini mencapai matlamatnya demi Malaysia tercinta,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Terdahulu, TAR UMT semalam menganjurkan seminar berkenaan kempen penyertaan dalam perkhidmatan awam dan badan beruniform kerajaan yang diadakan di kampus universiti berkenaan di sini.

Seminar itu turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, Lawrence berharap seminar tersebut dapat memecahkan stereotaip dalam kalangan belia Cina berhubung peluang mereka dalam sektor perkhidmatan awam dan badan beruniform.

“Diharapkan seminar ini dapat menarik minat lebih ramai belia kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam, memecahkan stereotaip atau tanggapan terhadap sistem kerajaan dan menggalakkan persekitaran perkhidmatan awam yang lebih inklusif serta berkepelbagaian,” katanya.

Pada April lalu, Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja menarik perhatian ramai apabila menjadi satu-satunya penuntut berbangsa cina yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK).

Menerusi perkongsian di Facebook Berita Tentera Darat Malaysia, Ming Youn berjaya menamatkan latihan selama 12 minggu sekali gus melayakkan beliau menerima anugerah Beret Hijau.

Selain itu, beliau turut dianugerahkan pisau komando bermakna secara rasmi bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).

Ming Youn merupakan pegawai daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) dan pernah berkhidmat di dalam 515 Askar Wataniah sebelum menyertai Kursus Asas Komando GGK pada tahun ini. – MalaysiaGazette