Mahkamah Tinggi kekalkan keputusan Mahkamah Sesyen terhadap pesalah melakukan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 8 tahun hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan penjara 12 tahun dan sebatan ke atas seorang bekas setiausaha persatuan yang melakukan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Difahamkan, mangsa merupakan anak asuhan ibu tertuduh yang ketika itu berusia lapan tahun sekitar tahun 2020.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut tanpa sebarang keraguan munasabah pada 2023.

Menurut peguam yang mewakili tertuduh yang berusia 33 tahun itu, Mazri Mohamad, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

“Pembelaan ada mohon penangguhan pelaksanaan hukuman memandangkan rayuan akan dibuat, mahkamah membenarkan permohonan ini dengan syarat tambahan.

“Notis rayuan kes dibuat hari ini” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette.

Difahamkan mahkamah mengekalkan jumlah jaminan dibayar sebelum ini sebanyak RM20,000 walaupun pendakwaan mohon ia dinaikkan sehingga RM50,000 andainya ada penangguhan hukuman.

Bagaimanapun mahkamah juga memerintahkan tertuduh  melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada Isnin pertama setiap bulan sehingga prosiding rayuan selesai.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di sebuah pangsapuri di Jalan Ipoh di sini antara 2 hingga 7 November 2020 sekitar pukul 8 hingga 9 malam.

Jika sabit salah, tertuduh boleh berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan hukuman sebat mengikut seksyen 14(a) Akta kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 [AKTA 792].

Satu lagi pertuduhan ialah melakukan persetubuhan diluar tabii dengan memasukan kemaluannya dalam mulut mangsa sama tanpa kerelaan yang jika sabit salah boleh dihukum bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan. -MalaysiaGazette