Zulkifly Abdullah

SHAH ALAM – Seorang datuk berusia 77 tahun membuktikan umur bukan penghalang untuk menggengam segulung ijazah.

Zulkifly Abdullah, berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pengajian Undang-undang dari Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau bukan calang-calang orangnya, merupakan mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia selama dua tahun antara tahun 2001 hingga 2003.

Zulkifly juga merupakan seorang pendaftar Mahkamah Perusahaan selama tiga tahun sebelum menjawat jawatan sebagai pengarah jabatan berkenaan.

“Sejak saya bekerja dengan Kementerian Sumber Manusia selama lebih kurang 34 tahun, saya banyak melibatkan undang-undang pekerja. Itu yang mendorong semangat saya mengambil Ijazah Sarjana Muda Undang-undang ini.

Zulkifly berkata, diagemar membaca, lagi-lagi tentang sejarah, justeru pekerjaannya ada melibatkan undang-undang.

Menariknya, bukan beliau seorang dalam kalangan keluarganya yang terlibat dalam bidang undang-undang.

“Anak saya juga adalah graduan lulusan sarjana muda undang-undang di UiTM dan dia sangat membantu saya sepanjang pengajian.

“Cabaran terbesar saya apabila sudah berumur ini adalah perlu mengingat dan menghafal banyak perkara. Jadi saya akan mengulangi kaji banyak kali untuk atasinya.

“Dalam masa sama, anak juga banyak membantu untuk menerangkan saya sekiranya saya mengalami kesukaran
dalam pembelajaran,” ujar Zulklfy.

Nasihat beliau, golongan muda perlu rajinkan diri untuk membaca, paling tidak pun luangkan masa dua jam sehari. belajarlah selagi ada ruang dan peluang untuk menuntut ilmu bagi menjadikan seorang insan yang berjaya. – MalaysiaGazette