Sylvester (dua dari kiri) bersama Shahrum (dua dari kanan) pada pemeteraian surat niat.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia bekerjasama dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pihak industri kesihatan dalam aspek penyelidikan penyediaan makanan terutamanya bagi pesakit disfagia.

Ketua Program Perkhidmatan Makanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, Dr. Sylvester Mantihal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengadakan kunjungan serta memeterai surat niat (LoI) bersama HKL, baru-baru ini.

Katanya, kerjasama tersebut adalah melibatkan aspek penyediaan makanan yang sihat sesuai dengan keperluan semasa pesakit-pesakit di hospital.

“Pada kunjungan tersebut, FSMP UMS dan HKL telah membincangkan empat agenda utama yang bakal dilaksanakan bersama, antaranya adalah pembangunan modul dan resepi pesakit disfagia menerusi International Dysphagia Diet Standardisation Initiative (IDDSI), penempatan latihan industri pelajar, latihan bersama kakitangan serta kolaborasi penyelidikan dan inovasi.

“Melalui kerjasama ini juga, kedua-dua entiti akan mendapat manfaat yang mana FSMP dan HKL saling memerlukan kepakaran antara satu sama lain,” katanya.

Pada majlis menandatangani LoI tersebut, UMS diwakili Sylvester manakala HKL diwakili oleh Timbalan Pengarah Perubatan 1 HKL, Dr. Hajah Shahrum Ismail.

Tambah Sylvester, FSMP UMS serta HKL berharap agar kerjasama itu akan dapat diteruskan serta mengalu-alukan peluang kolaborasi lain pada masa akan datang.

Pada Mac 2024, FSMP UMS telah bekerjsama dengan Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah dalam memperkasa menu pesakit disfagia bagi memastikan menu yang disediakan selari dengan intervensi dan preskripsi klinikal yang diberikan oleh pakar perubatan. – MalaysiaGazette