Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 27 orang penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 KDPB Sultan Pahang (sesi kedua) di Istana Abdulaziz

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar dan ADUN Beserah, Andansura Rabu merupakan antara 11 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat tersebut pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada 27 individu Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Sultan Pahang (sesi kedua) di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan kurniaan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan; Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Indera Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan Southern Acids (M) Berhad, Dr. Low Kok Thye.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Tentera Udara Malaysia (TUDM), Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom; Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral TUDM, Datuk Mohd Shahda Ismail;  Presiden Tunku Abdul Rahman University Of Management and Technology (TAR UMT), Profesor Ir. Dr Lee Sze Wei dan Pengarah Urusan Menara Network Sdn. Bhd, Datuk Ab Razif Asmuni.

Penerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ pula adalah Peguam Kanan Tetuan Nik Saghir dan Ismail Peguambela dan Peguamcara, Yang Mulia Tengku Shaiful Aftar Shah Tengku Datuk Mustafa; Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Ir. Mohd Zaki Mat Amin; Pengerusi Yindi Group China, Zhu Yilong dan Timbalan Pengerusi Thailand Charoen Pokphand Group (China), Li Wenhai.

Turut menerima darjah kebesaran dan gelaran sama ialah Asisten Ketua Staf Kejuruteraan Tentera Udara Diraja Malaysia, Mejar Jeneral Hishammudin Abdul Rahman; Panglima Bantuan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) , Mejar Jenaral Masro Kaliwon serta Pengarah Urusan Asian Art Production Sdn Bhd, Rozaidi Baharudin.

Dalam pada itu, selain Rosli dan Andansura, sembilan lagi penerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Datuk Mohd Nor dan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.

Turut tersenarai ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Perak, Ahmad Sabri Mohamed; Pegawai Daerah Raub, Mohd Khuzaidi Harun; Timbalan Pengarah (Risikan / Operasi) Polis Diraja Malaysia, Deputi Supritendan Fadil Marsus; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Leftenan Kolonel Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman; Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Mohd Rashid Mohamad; Presiden Stella Maris International School, Kuala Lumpur, Tang Beng Cheok serta Pengerusi Eksekutif FMT Media Sdn Bhd, Nelson Fernandez. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here