Jegan (tiga dari kanan) melihat set karaoke yang mengandungi perisian muzik yang disyaki merupakan salinan langgaran hak cipta dalam serbuan di sebuah bar di Jalan Kek Chuan, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan dua pengusaha bar melanggar hak cipta karya didaftarkan tanpa kebenaran bagi tujuan komersial membawa padah selepas premis mereka di Jalan Sri Bahari dan Jalan Kek Chuan di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang semalam.

Serbuan selama tiga jam berakhir pukul 9 malam itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berdasarkan risikan yang dijalankan sejak tiga bulan lalu.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, tindakan terhadap pengusaha premis itu diambil selepas RIM memberi advokasi serta amaran berulang kali namun segala usaha tersebut tidak diendahkan.

Tegas beliau, objektif utama operasi ini adalah untuk mendidik pemilik perniagaan tentang kepentingan mematuhi undang-undang hak cipta demi melindungi industri muzik.

Jegan.

“Premis-premis yang diserbu merupakan bar yang menyediakan perkhidmatan makanan, minuman beralkohol dan karaoke.

“Hasil siasatan mendapati mesin karaoke di premis berkenaan mengandungi perisian muzik yang disyaki merupakan salinan langgaran hak cipta.

“Dalam dua serbuan itu, sebanyak 14 perisian muzik cetak rompak dirampas, yang mana nilai setiap lagu berjumlah RM2,000,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Turut dirampas peralatan lain seperti televisyen, pembesar suara serta mesin karaoke yang digunakan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM35,000.

Kesemua peralatan membabitkan set karaoke dirampas untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987 dan jika didapati bersalah, pemilik premis boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Jegan mengingatkan semua pihak yang menggunakan karya hak cipta untuk tujuan perniagaan mendapatkan kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelakkan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette