Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap pada perbahasan ucaptama pada majlis Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Pas harus menjauhkan anggapan bahawa bukan Melayu adalah pengundi Pakatan Harapan (PH) mahupun DAP, kata Afnan Hamimi Taib Azamudden. 

Ketua Dewan Pemuda Pas itu menjelaskan, anggapan tersebut perlu dibuang jauh oleh Pas kerana ia hanyalah stigma politik semata-mata.

“Kita kena hapuskan stigma yang mengatakan, Kalau pengundi bukan Melayu, tentu akan sokong DAP, akan sokong PH. Tak betul. Bukan begitu cara kita berfikir.

“Kita kena sedar, ada ramai juga pengundi bukan Melayu yang sebenarnya tidak bersama DAP atau PH.

“Bahkan, terdapat sebilangan mereka yang berani berterus terang meluahkan ketidakpuasan hati mereka kepada DAP melalui video di dalam Tik Tok,” katanya dalam ucap taja Muktamat Dewan Pemuda Pas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau hari ini.

Oleh yang demikian, Afnan menjelaskan lagi Pas perlu segera berusaha untuk menarik rakan-rakan bukan Melayu atau bukan Islam.

Langkah itu, kata Afnan tidak perlu dilonggokkan kepada Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) semata-mata, sebaliknya dipandu oleh Dewan Pemuda Pas.

“Jika perlu ada kelas belajar bahasa Mandarin, belajar. Jika perlu bercakap Tamil, silakan. DPPM pernah ada kelas seumpama itu, sekali. Balendran Ketua Pemuda DHPP kita jadi cikgunya,” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak boleh bergantung kepada undi pengundi Melayu semata-mata.

Malah parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu juga perlu segera mengadakan muafakat baharu di negeri-negeri lain antaranya Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette