Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas berharap siasatan berhubung kes melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dapat dijalankan secara terperinci dan adil.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua pihak terbabit dalam isu itu juga perlu segera didawa di mahkamah sekiranya benar melakukan jenayah seperti dilaporkan.

Tegas beliau, jenayah jijik seperti didakwa berlaku di GISBH tidak boleh dinormalisasikan dan masyarakat tidak boleh dibiarkan menganggap apa yang berlaku adalah perkara biasa sehingga pelakunya lepas bebas.

“Apatah lagi lebih bahaya jika dilantik sebagai pemimpin masyarakat, itu jauh lebih bahaya.

“Serahkan kepada polis untuk siasat dengan terperinci, jika ada bukti kukuh, bawa ke pengadilan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan mangsa penganiayaan, amang seksual dan perbuatan cabul yang dikaitkan dengan GISBH dipercayai diajar untuk meliwat sebelum mereka diliwat.

Ujar beliau, modus operandi itu dikenal pasti berdasarkan risikan dan kenyataan pihak berkaitan dalam Op Global yang dianggotai melibatkan 705 pegawai dangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, GISBH menafikan dakwaan rumah amal kendalian pihaknya terbabit dalam mendidik kanak-kanak di bawah jagaannya dengan amalan seks luar tabii seperti yang tular di media sosial.

Syarikat itu dalam satu kenyataan menyifatkan tuduhan tersebut adalah berat dengan niat menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH. – MalaysiaGazette