Mohd Shahzihan Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah meneliti 19 video yang dimuat naik satu akaun di media sosial berhubung kewujudan ajaran menyimpang atau sesat berkaitan Islam oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penelitian itu dibuat untuk mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada serta  mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain bagi melengkapkan siasatan.

“JAIS peka dengan apa juga fakta-fakta membawa kepada penyimpangan daripada ajaran Islam sebenar yang berlaku di negeri ini.

“JAIS sentiasa memantau rapat ahli GISB berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa.

“Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa mengenai kepercayaan dan amalan yang membabitkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung barang rampasan dalam sebuan Op Global ke atas 18 buah premis semalam.

“Kita sudah berbincang dengan polis agar barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli GISB diserahkan kepada pihak JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” jelasnya.

Jelas beliau, dua daripada premis yang diserbu semalam disahkan berdaftar JAIS melibatkan Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang didaftarkan pada Januari 2015 dan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly, pada 12 November 2014.

Katanya, kedua-dua sekolah berkenaan masing-masing akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2024 dan 31 Disember 2025.

“Sekolah berkenaan terdiri daripada 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS.

“Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai 2024, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.

“Sebuah lagi sekolah iaitu Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly yang didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember tahun ini.

“Maahad ini terdiri daripada tiga orang kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri,” ujarnya.

Tambah Mohd Shahzihan, sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH telah berdaftar dengan JAIS.

“Dua daripadanya sudah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi sehingga 2028.

“Berikutan tindakan dan penemuan polis yang membabitkan sekolah yang berdaftar di bawah enakmen yang berkuatkuasa, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terbabit mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988,” katanya.

Pada masa sama katanya, JAIS sentiasa peka dengan apa juga fakta yang membawa kepada penyimpangan daripada ajaran Islam sebenar yang berlaku di Selangor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here