Datuk Seri Ahmad Maslan menyerahkan bendera sebagai simbolik pelancaran Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.29 Mahkota di Command Center BN N29 Mahkota, Kluang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Realiti politik semasa yang sentiasa berubah-ubah tidak lagi dapat memberi jaminan kemenangan mutlak kepada parti tertentu termasuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pemerhati politik, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Ahmad Zaki Hasan berkata, kerusi DUN itu juga tidak lagi boleh dianggap `kerusi selamat’ buat Barisan Nasional (BN) atau UMNO meskipun banyak pihak ketika ini membuat andaian sedemikian.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pensyarah Kanan, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mengakui BN mempunyai harapan cerah untuk mengekalkan kerusi itu berdasarkan beberapa faktor antaranya semangat kesepakatan yang semakin terserlah dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Dr. Ahmad Zaki.

“Selain itu, berdasarkan rekod pengundi serta faktor calon, BN dan UMNO dilihat mempunyai peluang lebih besar di DUN Mahkota.

“Beberapa faktor semasa yang berlaku di Johor atau di peringkat Pusat berkait dengan kerjasama Kerajaan Perpaduan juga bakal memberi kelebihan kepada BN.

“Bagaimanapun, dalam situasi politik negara ketika ini, setiap parti tidak boleh mengambil mudah dalam soal menentukan kemenangan dalam pilihan raya kerana istilah ‘kerusi selamat’ bukan lagi jaminan untuk sesebuah parti menang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa membuat andaian BN akan mempertahankan DUN Mahkota dengan majoriti besar dalam PRK itu pada 28 September ini.

Andaian Annuar itu berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu yang menunjukkan BN dan PH memperoleh sebanyak 28,000 undi.

Dalam pada itu, ditanya sama ada pergeseran antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal bakal memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zaki berkata, isu tersebut akan ditangani dengan baik menjelang PRK Mahkota.

“Tambahan pula, Pakatan Harapan (PH) telah memberi laluan kepada BN untuk bertanding dalam PRK Mahkota dan ini menunjukkan kesungguhan dalam menyuburkan semangat muafakat dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan,” katanya.

PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 September ini dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.

UMNO akan mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon BN pada PRK itu, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette