SERDANG – Buat julung kalinya, produk baja Peladang 25 berkonsepkan cecair pelepasan terkawal dilancarkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi syarikat subsidiarinya, NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB).
Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB, Zalifuddin Md Arshad berkata, baja cecair itu dirumus khas mengandungi kandungan nitrogen yang akan dilepaskan secara perlahan-lahan bagi memastikan tanaman mendapat nutrien berterusan dan berkesan di sepanjang tempoh pertumbuhannya.
“Baja cecair ini juga berupaya mengelakkan pembaziran dengan keadaan pembungkusan bersaiz 3 liter per tong dan ia sememangnya memberikan kelebihan kepada kawasan-kawasan yang mencabar seperti padi huma dan sebagainya .
“Baja ini telah diluluskan secara teknikal di jabatan pertanian dan telah digunakan sebelum ini. Ini usaha kami untuk menerobos pasaran terbuka secara lebih agresif menerusi Peladang 25 ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran produk baja Peladang 25 di MAHA 2024, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar.
Tambah Zalifuddin, baja cecair itu mudah digunakan dan sesuai untuk semua jenis tanaman seperti sawah padi, kelapa sawit termasuk menerusi mekanisasi semburan dron.
Katanya, baja Peladang 25 ini adalah pilihan ideal bagi pengurusan pertanian yang lebih efisien dan mampan kerana tidak bergantung kepada bekalan air, sesuai untuk keadaan ladang kering atau lembap.
“Baja cecair ini amat menjimatkan. Untuk satu hektar tanah hanya memerlukan sekurang-kurangnya tiga botol bersamaan sembilan liter dan kita menyasarkan penghasilan hasil tanamannya sekitar 10 hingga 15 peratus.
“Ia berbeza dengan baja pepejal apabila bertindak balas dengan kawasan air, ia akan membeku kerana memiliki 46% Nitrogen (N) dan 1% cecair, sedangkan yang ini (Peladang 25) ada 25% N dan boleh berinteraksi dengan kandungan air yang banyak tanpa membeku,” jelasnya.
Mengenai harga ditawarkan bagi produk itu, Zalifuddin berkata, pihaknya memberi harga jualan yang sangat kompetitif kepada petani tempatan.
“Baja cecair Peladang 25 ini didatangkan dengan kemasan botol pada tiga liter pada harga RM50 sahaja dan saya rasa ini satu tawaran sangat berpatutan untuk pasaran tempatan malah ia mula mendapat permintaan tinggi sebelum perasmian ini.
“Kita akan tempatkan produk ini menerusi agen-agen NAFAS yang terpilih agar mudah didapati untuk semua pengusaha tanaman di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mahfuz menyambut baik pengeluaran Peladang 25 yang menyaksikan kejayaan NAFAS dalam menginovasikan baja bagi semua sektor pertanian.
Katanya lagi, inisiatif oleh NAFAS ini adalah satu permulaan positif untuk mempromosikan pertanian secara mampan dan berdaya saing dalam industri baja.
“Produk ini juga merupakan satu mekanisme baharu yang menyokong pertanian mampan di samping mengekalkan kelestarian alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette