Datuk Abdul Halim Suleiman

KUALA LUMPUR – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menggalas tanggungjawab besar dalam Pilihan Raya Kecil (PDK) DUN itu pada 28 Septemberi ini bagi meneruskan warisan nasionalisme Melayu yang digerakkan UMNO.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, mengundi calon UMNO pada PRK Mahkota kelak bukan sekadar menyokong individu tetapi juga mempertahankan maruah dan sejarah bangsa.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau sebagai tempat kelahiran UMNO perlu terus menjadi benteng kuat dalam mempertahankan parti itu dan hanya boleh dicapai dengan sokongan padu pengundi DUN Mahkota pada PRK itu kelak.

“Selain itu, dalam suasana politik yang semakin mencabar di mana banyak parti politik baru muncul dan mencuba nasib mereka, UMNO tetap kekal sebagai simbol kestabilan dan kebijaksanaan politik orang Melayu.

“Mengundi calon UMNO bukan sekadar pilihan tetapi satu kewajipan untuk memastikan parti yang telah berkorban dan berjuang demi kemerdekaan dan kemajuan bangsa Melayu terus relevan dan berperanan dalam mencorak masa depan negara.

“Mahkota sebagai salah satu kubu kuat UMNO di Johor perlu menunjukkan kesetiaannya kepada legasi ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.

Tambah Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Negara, dalam konteks politik semasa yang mana Kerajaan Perpaduan sedang berusaha mengekalkan kestabilan dan perpaduan nasional, adalah penting bagi pengundi Melayu di Mahkota untuk menolak calon daripada Perikatan Nasional (PN).

Dakwanya, PN telah menunjukkan kecenderungan politik yang boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara dengan retorik yang sering kali bersifat memecah-belahkan.

“Bagi penyokong PH, mengundi calon UMNO dalam PRK ini adalah strategi terbaik untuk memastikan Kerajaan Perpaduan terus kukuh.

“Walaupun UMNO dan PH adalah dua entiti politik yang berbeza, kerjasama antara kedua-duanya dalam Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan bahawa perpaduan dan kestabilan boleh dicapai apabila kepentingan negara diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan jentera UMNO dan BN supaya tidak terlalu yakin dapat meraih kemenangan pada PRK Mahkota meskipun DUN itu merupakan kubu kuat UMNO.

“Kita perlu ingat, walaupun Mahkota ini kubu kita, rakyat masih boleh berubah angin. Kalau mereka rasa kita sambil lewa, tak mustahil undi akan beralih arah.

“Jadi, teruskan berkempen dengan bersungguh-sungguh, jangan bagi ruang langsung kepada pihak lawan untuk ambil kesempatan,” katanya.

PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 September ini dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.

UMNO akan mempertaruhkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon BN pada PRK itu, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here