Suasana para perwakilan yang hadir pada Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

JERANTUT – Dewan Ulamak Pas sebulat suara meluluskan usul tanpa bahas berkaitan persijilan dan pengesahan halal yang menjadi piawaian pilihan dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Usul yang dikemukakan Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) telah diterima tanpa dibahaskan di Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-63 di Kompleks As-Syafie, hari ini.

Cadangan tersebut menekankan kepentingan persijilan halal bagi premis-premis makanan dan menyeru agar ia dijadikan keperluan pelesenan di negeri-negeri SG4, iaitu negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Dalam usul tersebut, DUPP menegaskan bahawa Malaysia merupakan salah satu pusat persijilan halal yang paling diiktiraf di peringkat global.

Persijilan halal bukan sahaja memastikan kebersihan dan jaminan bahan, tetapi turut meningkatkan reputasi produk di peringkat antarabangsa, termasuk di negara-negara bukan Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, sebagai agensi yang bertanggungjawab, telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan reputasi tersebut melalui piawaian yang ketat dan integriti yang kukuh.

DUPP turut melahirkan kebimbangan terhadap beberapa kenyataan dari pihak tertentu, termasuk pimpinan politik bukan Islam, yang mempertikaikan cadangan untuk mewajibkan persijilan halal atas alasan bahawa ia membebankan peniaga dan boleh mencemar imej negara.

Malah, usul DUPP ini juga mengkritik pandangan segelintir umat Islam yang memperlekehkan isu ini, dengan alasan yang dianggap tidak munasabah.

Bagi mengatasi isu ini, DUPP mencadangkan agar negeri SG4, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis, mengambil inisiatif mendahului perlaksanaan persijilan halal secara berperingkat melalui kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini melibatkan premis-premis seperti restoran hotel, restoran francais, pusat penyembelihan, kedai roti, dan pasaraya.

Menurut usul itu, pelaksanaan yang dimulakan di negeri SG4 akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memperkukuhkan persijilan halal tanpa membebankan peniaga atau menjejaskan nama baik negara.

Cadangan tersebut, jika dilaksanakan, dijangka dapat memperkuatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal dunia, di samping memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga dengan adil dan saksama. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here