Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KLUANG – Satu pengumuman penting berkenaan draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan dibuat dalam masa terdekat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan perkara tersebut dilakukan dalam beberapa peringkat dengan terakhir melibatkan semua ahli Parlimen PN.

“Satu pengumuan yang agak penting akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana mesyuarat itu akan memutuskan antara lain cadangan MOU yang dikemukakan itu agak luar biasa, agak begitu menyulitkan bukan sahaja satu yang dilihat mahu benar-benar bantu wakil rakyat.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas perkara itu dibincang dengan ahli Parlimen yang nyata tidak puas hati dengan pimpinan PN peringkat Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas proses penamaan calo Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Kelmarin, Ahli Parlimen PN dilaporkan sebulat suara menolak dokumen disediakan kerajaan kerana tidak berpuas hati atas ‘kecacatan’ kandungan dan beberapa syarat perlu dipatuhinya.

Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, mengesahkan ada perbincangan wakil rakyat PN Isnin lalu, namun enggan mendedahkan keputusan komponen itu sebelum pengumuman rasmi pimpinan.

Sumber itu mendakwa, pembangkang tidak berpuas hati dengan beberapa obligasi atau syarat perlu dipatuhinya terutama menjurus kepada agenda kesamarataan untuk semua kaum dan individu.

Dakwanya, satu daripada 13 syarat meminta PN mengisytiharkan prinsip semua rakyat mempunyai hak asasi dan kebebasan tanpa perbezaan bangsa, etnik atau agama mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain hak perlindungan saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan.

Turut dipersoal ketiadaan penetapan jumlah peruntukan, selain syarat yang didakwa mengehadkan ‘suara’ pembangkang membangkitkan sesuatu isu.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here