Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada penamaan calon bagi PRK Dun Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota amat penting untuk menunjukkan hala tuju sokongan rakyat ketika ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan gabungan tersebut juga penting kerana akan menghantar isyarat besar kepada DUN Johor walaupun keputusan PRK DUN Mahkota pada 28 September nanti tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN).

“Walaupun ia merupakan PRK dan tidak membawa sebarang satu bentuk dalam kerajaan Pusat atau pun kerajaan negeri tetapi mesej yang hendak disampaikan PN sangat jelas.

“Situasi yang amat menyulitkan dengan dasar Kerajaan Pusat dan negeri yang dilihat tidak begitu prihatin dengan masalah rakyat.

“Rakyat berdepan kesulitan, kesusahan harga barang, kos sara hidup dan pelbagai masalah lain membuktikan kerajaan pada hari ini, tidak mampu selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Azmin Ali merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, calon diketengahkan PN, Mohd Haizan Jaafar, 61, atau ‘coach Haizan’ mempunyai pengalaman luas dalam sukan dan kemasyarakatan mampu menarik pengundi.

“Atas dasar pengalaman beliau dari segi usia cukup matang dan mampu menjalankan tugas berkhidmat untuk rakyat. Calon ini lahir di Kluang dan cukup banyak pengalamannya.

“Daripada segi jentera PN, ia sudah lama disiapkan oleh Azmin yang merupakan Pengarah PRK DUN Mahkota di bantu Dr Sahruddin,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September, manakala undi awal pada 24 September.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here