Ahli parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir pada Majlis Muktama semasa Usul Dan perbahasan Dasar ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Kesediaan Pas untuk menjalinkan semula kerjasama bersama UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) sebagai satu langkah sangat baik.

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerjasama itu merupakan satu perkara yang sangat dialu-alukan kerana ia boleh menyatupadukan orang Melayu dan bumiputera.

Beliau mendakwa, sokongan yang diberikan oleh UMNO kepada DAP hari ini hanyalah berlandaskan keputusan pemimpin parti itu sendiri sedangkan tidak di peringkat bawahan.

“Saya tak pernah sekalipun dalam TikTok tak sebut perkara itu (cadangan Pas kerjasama dengan UMNO). Penyatuan orang Melayu di Malaysia ialah 62 peratus, bumiputera campur Sabah Sarawak 70 peratus.

“Cadangan ini baiklah, ini terbaik dalam dunia. Nak beritahu negara diperintah oleh orang minoriti (DAP). Kami majoriti (Pas), kalau campur UMNO 114 kerusi campur Sarawak, Sabah boleh memerintah.

“Sudah minoriti memerintah (DAP), buat provokasi kepada Melayu bumiputera Islam. Kalau keluar kenyataan itu mereka nak saman. Apa, nak saman, samanlah mereka banyak duit. Tetapi, apakah itu jalan penyelesaian,” katanya yang merupakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Al-Makmur sempena Muktamar Tahunan Pas di sini, hari ini.

Shahidan mengulas mengenai cadangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai perkara itu.

Terdahulu, Abdul Hadi pada sidang medianya selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada muktamar itu memberitahu, cadangan tersebut merupakan usaha untuk menyatukan orang Melayu Islam dan bumiputera.

Katanya, rancangan itu sememangnya ada dan turut melibatkan bekas perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Bumiptera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Bagaimanapun katanya, perbincangan berkenaan tidak melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau mendakwa, ahli-ahli UMNO di peringkat bawah tidak menjadi masalah sekiranya hubungan kerjasama itu berlaku kerana mereka boleh menerima dengan baik.

Katanya, sekiranya perkara itu berlaku, negara ini boleh ditadbir dengan aman dan teratur.

“Ahli UMNO di bawah tidak jadi masalah…saya masih lihat Pas, Bersatu kita jemput kerjasama dengan UMNO, tiada masalah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here