Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media selepas Ucapan dasar dan Perasmian Muktamar Pas Kali ke-70 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak dakwaan kononnya Pas cuba memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Katanya, parti itu telah menghantar Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin sebagai wakil Pas pada penamaan calon pagi tadi.

“Kita sudah beritahu pimpinan termasuk Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) akan hantar wakil mewakili Pas.

“Tiada isu boikot, kita hantar naib presiden,” katanya sidang media sejurus perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-70 hari di Kerdau, hari ini.

Dakwaan itu timbul selepas pimpinan Pas tidak kelihatan pada proses penamaan calon PRK DUN Mahkota pagi tadi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berharap tiada sebarang pelanggaran peraturan ketika dalam pilihan raya berlaku di Johor itu seperti yang didakwa berlaku semasa PRK DUN Nenggiri.

Oleh itu, Pas telah memilih beberapa orang pemantau bagi menilai ketelusan pilihan raya itu.

”Kita harap pilihan raya Mahkota jadi model dan kita akan tengok, Kita buat pemantau di peringkat Pas dan Perikatan Nasional supaya tidak berlaku kepada pelanggaran ketika pilihan raya,” katanya yang optimis kemenangan calon PN pada pilihan raya tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here