Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah pada majlis penamaan calon bagi PRK Dun Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Pengundi luar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menjadi cabaran utama Kerajaan Perpaduan mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana terdapat kira-kira 50 peratus pengundi DUN Mahkota tinggal di luar kawasan tersebut.

“Cabarannya adalah isu pengundi yang duduk di luar DUN Mahkota, khususnya mereka yang bekerja di Singapura.

“Bagaimanapun, kita parti-parti komponen kerajaan akan mencari jalan yang holistik dalam memastikan masyarakat yang layak akan keluar mengundi pada PRK DUN Mahkota pada 28 September 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Hari Penamaan Calon PRK DUN N.29 Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Calon BN, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, akan menentang calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, dalam PRK DUN Mahkota dalam pertembungan satu lawan satu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Syed Hussein dilihat bukan sahaja mempunyai aura dalam menarik pengundi muda, namun mampu memikat hati masyarakat untuk menyokong Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenan.

Menurutnya, selain fasih berbahasa Mandarin, Syed Hussein mendapat dokongan kuat dari parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan yang komited membantu UMNO pada PRK berkenaan.

“Beliau yang berpendidikan di sekolah Cina mempunyai pemahaman yang dalam terhadap budaya, bahasa dan pemikiran orang Cina yang mana hampir 35 peratus pengundi di Mahkota ini adalah orang Cina.

“Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO memiliki dukungan bukan hanya daripada pengundi muda yang melebihi 51 peratus (pengundi), namun turut mendapat sokongan mereka berumur 40 tahun ke atas,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, calon BN itu mendapat sokongan tiga parti komponen.

“Saya ucap terima kasih Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah memulakan kerja kerja lebih awal. Itu sebab kita umumkan seminggu lebih awal daripada hari penamaan calon,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here