Mohamad Haizan Jaafar selepas menyerahkan borang pencalonan PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Kluang, hari ini

KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Mahkota berazam melakukan pembaharuan sekiranya menang nanti.

Mohamad Haizan Jaafar, 61, berkata, sekiranya dipilih, beliau akan membawa suara pengundi Mahkota di DUN Johor dalam memperjuangkan nasib mereka.

“Insya Allah kalau saya dipilih saya akan membawa suara rakyat di dewan rakyat, apa-apa masalah rakyat di DUN Mahkota dan sekiranya (dipilih) saya akan membuat satu perubahan.

“Mungkin (sebelum ini sebagai coach pasukan bola sepak) saya (jaga) kebajikan dan sukan sahaja, maknanya (selepas berjaya menjadi ADUN Mahkota) semua hal kebajikan secara am akan saya bantu di daerah Kluang dan bukan majukan sukan di daerah Kluang sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhabr selepas diumumkan sebagai calon menentang calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada penamaan calon bagi PRK Dun Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

Mohamad Haizan mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memilih beliau sebagai calon.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here