Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kumpulan MyCreative Ventures bekerjasama bagi melancarkan pertandingan reka corak batik bagi mengetengahkan warisan batik Malaysia di persada global.

Dalam persiapan Malaysia dalam memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, SC akan mengetuai inisiatif ini dalam Trek Kewangan (Financial Track) yang diterajui Kementerian Kewangan, untuk memartabatkan batik Malaysia.

Bertemakan Batik Lestari, pertandingan ini bertujuan untuk menonjolkan kepelbagaian bakat di seluruh negara, memberi peluang kepada penggiat seni tempatan untuk menyumbang tafsiran unik mereka terhadap reka corak batik Malaysia.

Pertandingan ini juga bertujuan untuk mempromosikan kemampanan, menggalakkan peserta menerokai amalan dan bahan mesra alam dalam reka corak dan penghasilanbatik mereka.

Reka corak pemenang akan digunakan dalam pelbagai elemen kepada para pemimpin dan perwakilan di acara ASEAN 2025, melambangkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

Penyertaan untuk pertandingan tersebut akan dibuka pada 16 September 2024 sempena Hari Malaysia. Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Tarikh tutup penyertaan ialah 18 Oktober 2024.

Penyertaan akan dinilai berdasarkan persembahan keseluruhan, keaslian budaya dan kreativiti dalam penggunaan elemen motif Malaysia. Kriteria lain termasuk tafsiran tema, kreativiti reka corak dan kombinasi warna.

Daripada jumlah penyerahan, 40 reka corak teratas akan disenarai pendek dan pemenang akan diumumkan pada awal Disember 2024.

Hadiah wang tunai yang menarik menanti tiga pemenang teratas selain hadiah saguhati.

Pengiktirafan khas juga akan diberikan kepada penggiat seni yang menggabungkan bahan mesra alam dan amalan mampan, seperti pewarna semula jadi dan pengurangan sisa.

Mengulas mengenai pertandingan dan inisiatif Batik Lestari, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi menekankan komitmen SC dalam memperkasakan penggiat seni dan usahawan tempatan.

“Ini selaras dengan matlamat SC untuk memupuk pertumbuhan inklusif dan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ia juga peluang bagi SC memupuk ekonomi kreatif dan menyokong penggiat seni tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Zainariah Johari berkata, inisiatif Batik Lestari adalah peluang keemasan untuk membayangkan semula dan membawa batik Malaysia ke peringkat seterusnya.

“MyCreative Ventures memainkan peranan penting dalam membawa kepakaran yang diperlukan dalam mendekati industri kreatif dan menyokong pertandingan ini melalui pangkalan data dan pengalamannya dalam menyokong industri kreatif sejak 2012,” tambah beliau. – MalaysiaGazette