Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media selepas Ucapan dasar dan Perasmian Muktamar Pas Kali ke-70 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Banyak negara yang diisytiharkan kemerdekaan pada namanya sahaja tetapi hatinya tetap bergantung kepada penjajah, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pas mendakwa, ini yang berlaku terhadap pemerintahan negara ketika ini.

Katanya, disebabkan itu Pas menolak tawaran Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Peruntukan Pembangkang oleh Kerajaan Madani yang disifatkan tidak mengikut sifat tabi’i sebenar melalui amalan demokrasi yang menepati ajaran Islam.

“Demikian itu disebabkan Islam mewajibkan adil kepada semua dan tidak berbohong apabila mengadakan perjanjian,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, perjanjian royalti inyak kerajaan Terengganu telahpun dibatalkan, manakala kerajaan Kelantan pula dinasakhkan perjanjian sama.

Katanya, kerajaan pusat sepatutnya menguji kemampuan empat kerajaan negeri pimpinan Pas dengan memberi peluang untuk mengurus dan mentadbir sendiri.

“Kita meminta dengan cara damai dan baik berkonsepkan federalisme, amalan demokrasi sebenar yang adil dan tidak berlaku zalim, tidak berbohong dan tidak mengkhianati perjanjian dengan semangat cintakan negara berkonsep perpaduan yang sebenar walaupun berbeza ideologi dan agama.

“Banyak lagi dalil-dalil yang nyata mengapa Parti Islam SeMalaysia (Pas) tidak menyertai kerajaan yang bernama perpaduan yang hakikatnya tidak berisi perpaduan dan Kerajaan Madani yang masih mentah amalannya dan tidak mempunyai ramuan yang nyata halalnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here