Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media selepas Ucapan dasar dan Perasmian Muktamar Pas Kali ke-70 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Peruntukan anti lompat yang diluluskan Pas dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan adalah untuk mewujudkan rasa gerun dalam kalangan ahli-ahli parti, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, dengan peruntukan baharu itu ia akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pas.

“Dari segi bai’ah kita kekal…kita akan kekalkan walaupun kita ada pindaan perlembagaan antilompat parti, tapi bagi pengukuhan atau pun lebih kuat sekiranya kita ada bai’ah dan peraturan undang-undang .

“…bererti kita mengawal ahli-ahli kita, pertama bai’ah ini ia bersifat spiritual. Kalau undang-undang bersifat fizikal. Jadi, kalau kita ada rasa gerun. Dalam Pas ini dia ada lafaz sumpah dengan nama Allah  wallahi wabillahi, saya tidak akan khianat kalau saya buat juga maka haramlah pendapatan say.

“Itu nilai nilai spiritual yang menyingkap setiap calon kita supaya jadi bertanggungjawab dengan rakyat yang pilih dia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

Semalam, dua pertiga daripada 1,324 perwakilan parti Pas bersetuju agar peruntukan tersebut dimasukkan ke dalam perlembagaan Pas.

Peruntukan tersebut merupakan antara enam pindaan lain yang dipersetujui termasuk penubuhan dewan baharu, pemerkasaan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), mengemaskini peruntukan berkaitan dewan-dewan dan pindaan isu-isu pentadbiran.

Selain itu, usul yang turut dipersetujui adalah mewujudkan peruntukan berkaitan lembaga pemegang amanah serta pindaan berkaitan isu-isu teknikal.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika membentangkan kesemua usul berkenaan berkata, pindaan peruntukan anti lompat parti diperkenalkan bagi menangani isu berkenaan di masa hadapan.

“Mana-mana ahli yang menyertai atau menyokong parti lain yang tidak dianggotai Pas, atau mengambil tindakan bertentangan dengan pendirian parti, akan kehilangan keahlian secara automatik.

“Peruntukan Fasal 15A juga meliputi ahli yang memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas.

“Ini penting bagi memastikan disiplin dan kesetiaan ahli yang memegang jawatan dalam badan perundangan,” katanya seperti dilaporkan.

Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, pucuk pimpinan parti memutuskan untuk membuat langkah tersebut memandangkan parti-parti lain sudah menerima pakai peruntukan sedemikian dalam perlembagaan masing-masing agar selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here