Sheikh Umar Bagharib Ali

KLUANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menjadi platform mengetengahkan politik moderat dan sederhana sesuai dengan gagasan Malaysia Madani.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, politik baharu yang tidak ekstrem itu merupakan kontras kepada politik kebencian dan manipulasi sempit sentimen ras serta agama.

Bagi menjayakan agenda politik  baharu itu katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan calon Kerajaan Perpaduan memang PRK DUN Mahkota.

Beliau percaya PH-BN akan bergerak seiringan bagi memenangkan calon mereka dalam PRK DUN Mahkota yang diwakili Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Ia penting bukan sahaja untuk menuai kejayaan pada hari pengundian 28 September nanti, tetapi untuk kemenangan PH-BN menjelang PRU akan datang.

“Kita memerlukan semangat perpaduan jangka panjang bagi memastikan Malaysia terus berada pada landasan yang betul.

“Formula perpaduan jangka panjang inilah yang akan mengangkat semula Malaysia dan rakyatnya melonjak lebih tinggi di mata dunia baik daripada aspek politik, ekonomi serta kerukunan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertaruhkan Syed Hussien, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, PRK DUN Mahkota juga akan menjadi medan memperkukuhkan jentera parti PH-BN dari peringkat pucuk pimpinan hingga ke akar umbi.

Katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, kebersamaan jentera PH-BN akan mempamerkan kesediaan Kerajaan Perpaduan menghadapi PRU16.

“Pilihan raya ini akan sekali lagi menguji kerukunan parti-parti PH-BN sebagai sebuah gabungan yang kuat dalam membentuk Kerajaan Perpaduan. Ia bakal memberi gambaran keutuhan kita dalam memastikan agenda membangunkan negara dipacu atas kestabilan politik yang kukuh.

” Ia juga menjadi tanda penggembelengan rakyat pelbagai bangsa berpaksikan fokus bersama untuk menjayakan agenda pemulihan ekonomi sepertimana diiltizamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kabinetnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here