Sundarajoo meninjau keadaan Sungai Kereh yang tercemar akibat sisa ternakan ladang babi di Tasek Gelugor, Pulah Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk membina pusat pemprosesan najis ternakan di Kampung Selamat, di sini, bagi menangani isu pencemaran Sungai Kereh yang berpunca daripada sisa penternakan babi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, perbincangan mengenai pembinaan pusat itu akan dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Negeri minggu ini.

Jelas beliau, langkah itu diambil selepas pihaknya sering menerima aduan mengenai pencemaran serius di sungai tersebut selain isu sama sering dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sundarajoo.

“Cadangan pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan ini adalah langkah penting untuk mengurangkan pembuangan sisa penternakan terus ke sungai.

“Ini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan. Kita perlu bertindak segera untuk menyelamatkan Sungai Kereh dan memastikan penternak di kawasan ini menjalankan perniagaan secara profesional dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Sundarajoo meluangkan masa lebih dua jam meninjau ladang ternakan dan pusat penyembelihan babi di Kampung Selamat sebelum begerak ke Sungai Kereh untuk melihat keadaan pencemarannya.

Hadir sama. Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Norazizi Adinan.

Tambah Sundarajoo, pusat pemprosesan najis ternakan itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah pencemaran tetapi juga berpotensi menghasilkan gas dan elektrik yang akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk.

Sementara itu, Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr. Tishrin Muhammad Ismail berkata, terdapat 61 ladang babi dengan 130,000 jumlah ternakan sekitar Kampung Selamat yang telah beroperasi lebih 40 tahun.

“Ladang-ladang ini telah mematuhi piawaian minimum, di mana mereka menggunakan kolam penapisan untuk membersihkan sisa sebelum dilepaskan.

Dr. Tishrin.

“Sebenarnya semua penternak memberi sokongan penuh untuk pembinaan pusat pemprosesan najis ternakan agar usaha holistik kerajaan negeri serta agensi berkaitan menangani isu pencemaran tercapai,” katanya.

Media pada 2021 melaporkan Kajian saintifik sebuah makmal bebas mendedahkan pencemaran Sungai Kereh yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berpunca daripada pelepasan najis babi dari Kampung Selamat di sini.

Analisis kualiti air di sungai itu dilakukan makmal bebas hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here