JEMPOL – Seorang wanita warga Indonesia cedera parah di muka, perut dan bahu selepas ditikam teman lelakinya di Taman ACBE, Bahau, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ekoran pertelingkahan antara pasangan itu.
“Mangsa berusia 40 tahun itu mahu pulang ke Indonesia, tetapi teman lelakinya, warga Rohingya yang berusia 38 tahun berang dan menikamnya.
“Suspek terlebih dahulu menyerangnya sebelum menggunakan pisau. Dia sempat melarikan diri dengan motosikal dan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat. – BERNAMA