Seekor gajah liar yang memijak dua pekerja kontrak pembersihan di Felda Tenggaroh baru-baru ini. Foto Sahabat Anak Tenggaroh

MERSING  – Seorang pekerja kontrak maut manakala rakannya parah dipijak gajah selepas mereka cuba menghalau haiwan liar itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenggaroh Lima di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian gajah liar mengamuk itu dimaklumkan kepada pihak polis berlaku pada pukul 11 pagi.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku berhampiran hutan simpan SK Felda Tenggaroh Lima.

“Dua pekerja kontrak pembersihan bertindak menghalau seekor gajah liar daripada mendekati kawasan sekolah. Bagaimanapun mereka diserang gajah liar tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai memberi bantuan kepada dua mangsa yang dipijak gajah liar di SK Felda Tenggaroh Lima di sini hari ini.

Katanya, seorang daripada mereka cedera di bahagian leher kiri dan dada kiri serta meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

Seorang lagi katanya, cedera di kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul dirujuk di Hospital Mersing sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HIS) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Mayat katanya, dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes diklasifisasikan sebagai mati mengejut.

Polis katanya, menasihatkan orang ramai agar melaporkan masalah haiwan liar kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri sehingga menyebabkan konflik dan konfrontasi.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seorang tukang kebun maut manakala seorang lagi cedera diserang gajah liar. – MalaysiaGazette

Tukang kebun sekolah maut dipijak gajah liar, rakan parah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast