Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah bercakap kepada wartawan selepas beramah mesra bersama usahawan-usahawan muda ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)  Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah menafikan dakwaan beliau mempunyai rekod jenayah.

Beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin yang membuat tuduhan itu.

“Saya nafikan dan akan buat laporan polis berkait dakwaan itu selain tindakannya (Badrul) mempamerkan nombor kad pengenalan saya di hadapan orang ramai yang menjadi kesalahan berat.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam untuk kita ambil tindakan undang-undang,” ujarnya menafikan dakwaan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard yang mendakwa beliau terbabit dalam satu kes pukul hingga ditangkap polis.

Chegubard dalam satu ceramah di kempen Perikatan Nasional (PN) PRK Mahkota di sini malam tadi, meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan pernah ditangkap polis berhubung satu kes pukul.

Beliau juga menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis yang menyatakan Syed Hussien terlibat dengan kes jenayah itu.

Sementara itu, Syed Hussien berkata, tindakan Chegubard itu menunjukkan PN kekeringan modal dan mengamalkan politik tidak matang.

“Berbeza dengan BN, kita terus amalkan politik khidmat bakti untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Bukan kempen tidak beradab seperti dibuat lawan,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ini menyaksikan pertembungan Syed Hussien dengan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here