Aminolhuda ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Berkelompok Perpaduan di bandar Kluang, malam tadi.

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) sengaja menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu apabila mendakwa lawatan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membuat lawatan sambil belajar ke China ketika ini dengan mengaitkannya dengan ideologi komunis.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tuduhan terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu hanya mahu meraih sokongan orang Melayu.

Jelas beliau, ini sama seperti dakwaan yang pernah dihadapi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Apa yang tak dituduh kepada PM (Anwar)? Ejen Amerika, ejen Yahudi. Tapi apabila Anwar sebagai Perdana Menteri, apa yang dibuat? Depan pembesar-pembesar Barat, dia nyatakan dia sokong rakyat Palestin, dia hentam Yahudi.

“Jadi, tuduhan-tuduhan sebelum ini dilemparkan semata-mata untuk dapatkan sokongan daripada orang Melayu…itu sahaja…dan ini adalah mainan yang tidak munasabah.

“Saya yakin dan percaya dalam kalangan orang Melayu, bila sebut ideologi komunis, mereka tak akan terlibat, mereka tidak akan minat lagi.

“Ini semua ungkapan-ungkapan untuk menakut-nakutkan orang Melayu, untuk wujudkan ancaman bahawasanya Islam terancam, Melayu terancam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ceramah Berkelompok Perpaduan di sini malam tadi.

Laporan polis terhadap Mohd Puad dibuat Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal semalam berdasarkan hantaran Puad dalam Facebook miliknya baru-baru ini, termasuk lawatannya ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC) Beijing, tempat kader PKC dilatih.

Lawatan Mohd Puad tersebut turut disertai delegasi Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor antara lain menzahirkan kebimbangan fahaman komunis akan menular dalam kalangan ahli UMNO dan juga di DUN Johor.

Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, tidak timbul tentang sebaran ideologi komunis sekiranya orang Melayu mempunyai pendirian dan asas yang kuat.

“(Jika) dulu mungkin…masa perang nak lawan British, masa berlawan dengan Jepun, mungkin dia (orang Melayu) terpaksa duduk bersama dengan komunis, bukan dia komunis, dia masih sembahyang.

“Tuduhan boleh diberi tapi daripada segi praktikalnya, orang Melayu kena tengok secara jujur, secara terbuka apa yang kita perjuangkan.

“Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang sangat prihatin kepada semua tak kira bangsa dan agama, menjadi asas kepada pembentukan negara ini iaitu Islam sebagai agama rasmi tetap dipertahankan,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here