KLANG – Seorang pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di sini atas tuduhan mendera tiga kanak-kanak ketika di bawah jagaan salah sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat terbabit.

Tertuduh, Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, yang mengangguk tanda faham dan mengaku bersalah selepas kesemua tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Terdahulu suspek yang memakai baju t-shirt berwarna merah diiringi anggota polis tiba di Kompleks Mahkamah Klang kira-kira 9.45 pagi

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh menganiaya tiga kanak-kanak dengan cara merotan tangan sebelah kanan yang mungkin mengakibatkan kecederaan fizikal.

Manakala satu lagi pertuduhan, Muhammad Barur menganiaya seorang kanak-kanak dengan cara menekan dada menggunakan lutut yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Ketiga-ketiga perbuatan itu dilakukan tertuduh di Sekolah Rendah Integrasi Miftahul Hikmah di Bandar Bukit Raja di sini sekitar Jun dan September 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh.

Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar mengenakan hukuman maksimum walaupun tertuduh membuat pengakuan bersalah.

Kalmizah berkata, pengakuan bersalah bukan satu faktor yang boleh membantu meringankan hukuman tertuduh.

“Tertuduh dipertuduhkan dengan empat pertuduhan melibatkan tiga mangsa berbeza,” katanya.

Pendakwaan turut memohon mahkamah mempertimbangkan lima perkara sebelum membuat keputusan termasuk faktor kekerasan dan kecederaan, faktor keadaan mangsa, faktor kepentingan awam, mengaku bersalah bukan faktor mitigasi serta faktor ke atas mental dan fizikal mangsa.

Hakim Noridah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap kesemua pertuduhan dan pemenjaraan itu dilaksanakan secara berasingan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Selain itu, Noridah juga mengenakan hukuman tambahan iaitu satu bon dengan penjamin di mana tertuduh perlu berkelakuan baik sehingga lima tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here