Ahmad Zahid ketika berucap dalam Program Felcra Madani Santuni Rakyat di Dewan Serbaguna Chamek, Kluang, hari ini.

KLUANG – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua pihak dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan tidak mengeruhkan hubungan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Presiden UMNO itu mahu semua tidak menyerang satu sama lain dengan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati mana-mana pihak.

“Jangan ada pada saat akhir di kalangan kita yang keluar kenyataan-kenyataan menghiris hati teman-teman lain dan kita minta juga teman-teman lain janganlah keluarkan sebarang perkataan atau ayat yang guris hati kita pula.

“Bumi mana yang tidak ditimpa hujan tapi kita berdoalah jangan ‘hujan’ sebelum 28 September tamat (hari mengundi PRK DUN Mahkota).

“Siapa yang faham, fahamlah yang tak faham takpe. Tapi itulah niat saya sebenar, tutuplah mulut, kuncilah mulut, bukalah telinga, bukalah mata. Mata melihat telinga mendengar tapi mulut terkunci.

“Tangguhlah dulu kalau tidak setuju pun, bukan rugi pun, kita rugi kalau kita kutuk orang, kita rugi kalau kita maki orang, kita rugi kalau kita benci orang.

“Tapi kita tidak pernah rugi kalau kita puji orang, sayang pada orang apatah lagi lagi orang itu sayang kepada kita, itulah yang kita mahukan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Program Felcra Madani Santuni Rakyat di Dewan Serbaguna Chamek di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Ahmad Zahid berkata, walaupun sebelum ini UMNO tidak sehaluan dengan lambang parti yang berbeza dengan parti yang bukan komponen BN tetapi kini semuanya sudah berubah.

Katanya, perkara itu sudah tidak berlaku lagi selepas semuanya bersatu atas semangat perpaduan.

Beliau berharap, kemenangan calon Kerajaann Perpaduan itu dalam PRK DUN Mahkota nanti tidak akan membuatkan UMNO menjadi sombong, riak dan ujub.

Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, apabila menang nanti banyak lagi kawasan dalam DUN Mahkota termasuk DUN Mengkibol dalam Parlimen Kluang boleh dimajukan.

Jelasnya, ini kerana kedua-dua DUN berkenaan bukan dalam kawasan luar bandar sepenuhnya dan memerlukan bantuan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here