Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Tapak Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Taman Alam Sutera, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap setengah-setengah pihak yang marah dan mengambil sikap berdendam apabila diminta untuk mengisyiharkan harta.

Anwar berkata, sekiranya pihak terbabit tidak bersalah mereka tidak seharusnya takut untuk berbuat demikian.

“Pemimpin-pemimpin bila jadi perdana menteri, jadi menteri kewangan mesti miliki ratusan juta. Ada yang miliki berbilion ringgit.

“Bila kita suruh isytihar harta marah, dendam. Apa dendam? Kalau kamu tidak salah apa takut isytihar harta? Saya bila esok kita isytihar harta sekali lagi, saya isytihar.

“Koreklah banyak mana pun barulah kita boleh jadi pemimpin, jadi contoh. Kalau tidak apa yang hendak diajar kepada rakyat?” soal Anwar.

Arkitek, Mohammad Taufik A.aziz menunjukkan pelan cadangan Pembinaan Kompleks kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Tapak Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Taman Alam Sutera, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2024.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Taman Alam Sutera, di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa.

Anwar mahu pembinaan sekolah itu dilaksanakan dengan cepat dan melibatkan proses tender yang teliti tanpa ada ketirisan.

Katanya, roh Islam yang cekap perlu diterapkan dalam setiap tindakan termasuk dalam pembinaan SMISTA.

Sementara itu, Anwar mahu keseimbangan pendidikan dapat dilakukan di sekolah agama antara keperluan menguasai ilmu asas dan al-Quran serta disiplin baharu melibatkan sains, teknologi dan penerokaan alam.

Perdana Menteri berkata, jika gagal untuk menguasai kedua-dua cabang berkenaan umat Islam akan ketinggalan.

“Kalau tidak nanti kita boleh jadi alim, tetapi nanti dikuasai. Teknologi mereka pegang, kecanggihan ketenteraan orang lain pegang. Jadi kita hanya menonton.

“Rumah-rumah dirobohkan, negara ditakluk sebab itu ada keperluan kita kuasai kedua-dua bidang.

“SMISTA melalui integrasi sains yang lebih luas dan tahfiz menguasai dan menghayati al-Quran akan menjadi kekuatan, menjadikan kita manusia yang lebih berguna atau insan soleh,” kata Anwar.

Anwar meluluskan projek tersebut tahun lalu di bawah Geran Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM70 juta.

Pembinaan dijangka bermula pada suku kedua 2025 dan siap pada 2028 yang bakal menempatkan 576 orang pelajar dan sehingga 130 guru termasuk pengurusan.

Ia turut menempatkan blok asrama lelaki untuk 288 pelajar dan blok asrama perempuan menampung 288 pelajar.

Selain itu mempunyai kemudahan dewan makanan dengan kapasiti 600 orang dan surau yang boleh memuatkan seramai 450 orang pada satu-satu masa.

SMISTA ditubuhkan pada tahun 2011 bertujuan untuk menawarkan pendidikan berteraskan agama dengan gabungan pendidikan sains moden dan konvensional.

Selain turut melahirkan para huffaz yang mampu mengimbangi kehidupan dunia dan ukhrawi.

Pada awal penubuhannya, sekolah ini beroperasi di bangunan rumah kedai di Danau Lumayan, Bandar Tun Razak, Cheras dan kemudian berpindah ke lokasi semasa iaitu di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bandar Tun Razak sehingga kini.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here