KUANTAN – Lebih 20,000 ahli pengakap dari dalam dan luar negara akan memeriahkan Pahang International Scout Scarf Festival 2024 (PISSF 2024) di Stadium Darul Makmur yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini.

Pengarah program, Muhammad Asmawi Sulaiman berkata, program berkenaan akan disertai lima buah negara luar membabitkan Myanmar, Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura selain daripada ahli pengakap Malaysia.

“Kita sudah mendapatkan pengesahan 525 peserta dari luar negara dan lebih 19,000 peserta dari semua negeri seluruh tanah air.

“PISSF 2024 merupakan kesinambungan daripada festival skaf yang telah diadakan pada tahun 2023 iaitu Pahang International Scout Scarf Festival 2023.

Muhammad Asmawi Sulaiman

“Tujuan penganjuran program ini adalah untuk mempromosikan Hari Skaf Kebangsaan di samping mempromosikan gerakan pengakap,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, perbezaan yang akan dibawa kepada festival tahun ini adalah penyediaan aktiviti yang lebih banyak dan menarik dan lebih memfokuskan kepada aktiviti sukan.

Difahamkan Pahang mendominasi penyertaan tertinggi dengan pengesahan pendaftaran lebih 10,000 peserta.

Jelas Muhammad Asmawi, penyertaan keseluruhan pada tahun ini dijangka meningkat kepada 20,000 berbanding 8,000 peserta pada tahun lalu.

Penyertaan tertinggi dalam pengumpulan ahli pengakap sempena Hari Skaft Kebangsaan itu sekali gus bakal diiktiraf Malaysia Book of Record sebagai nilai tambah untuk penyertaan.

Konsep utama program PISSF 2024 adalah pemakaian skaf program oleh semua peserta bagi mengenakan pelbagai tema dan corak skaft yang disediakan.

Festival akan dimulakan dengan aktiviti larian sepanjang 5 kilometer  sekitar bandar Kuantan bermula dan berakhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here