Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar

JOHOR BAHRU – Lima individu yang terlibat dalam kes pencemaran di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, Kota Tinggi akan dituduh di Mahkamah Kota Tinggi hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pertuduhan tersebut dilakukan selepas mendapat arahan kepada Pejabat Peguam Negara selepas kertas siasatan diserahkan kelmarin.

Katanya, pertuduhan tersebut berhubung kes pembuangan sisa kilang di lombong kampung tersebut.

“Pembuangan itu sehingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat dan kemudaratan kepada penyelenggaraan pengairan perkhidmatan air di kawasan tersebut.

“Suspek akan dituduh bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu melakukan sabotaj jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara 30 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau memberitahu, tiga suspek warga tempatan berusia 23 hingga 52 tahun akan didakwa bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara dua lagi suspek, katanya, iaitu Pengarah serta pemegang saham sebuah kilang di Seri Alam yang berusia 41 dan 53 tahun akan dituduh bawah Seksyen 124 KK dibawa bersama Seksyen 109 KK kerana bersubahat melakukan sabotaj.

“Kesalahan bawah 124 KK merupakan kesalahan terhadap negara sebagaimana bahagian IV KK.

“Empat lelaki yang ditangkap akan dibebaskan dengan bon jamin bawah peruntukan Seksyen 118 KK tatacara jenayah sebagai saksi pendakwaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perlindungan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama setiap lapisan masyarakat supaya pembangunan lestari dikekalkan.

Jelasnya, ia termasuk sumber alam dapat diguna pakai sehingga generasi secara kualitatif dan kuantitatif.

Menurut Kumar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran yang boleh mengganggu kelestarian alam sekitar.

“Polis menasihati orang ramai agar komited membantu polis dalam usaha membanteras sebarang aktiviti seumpamanya dengan menyalurkan maklumat menerusi talian hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan 07-221 2999,” tambahnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here