Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan air berbuih di alur Sg. Kuang pada 23 September lalu

KUALA LUMPUR – Pencemaran air berbuih di alur Sg. Kuang pada 23 September lalu berpunca daripada beberapa tangki IBC yang mengandungi sabun pencuci pelbagai guna dan lantai bersebelahan dewan serbaguna, Matang Pagar pecah dan bocor.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, penemuan itu hasil daripada satu operasi bersepadu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan beberapa agensi di kawasan Matang Pagar, semalam.

“Insiden itu menyebabkan kandungan bahan dalam tangki tersebut melimpah keluar sehingga ke longkang bersebelahan dewan serbaguna tersebut dan masuk ke dalam Sg. Kuang serta akhirnya akan masuk ke dalam Sg. Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain Luas, operasi itu melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (HAZMAT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lembaga Urus Air Sealangor (LUAS) menjalankan pensampelan bau di lokasi mencatatkan bacaan 0 ton.

Menurut Jamaliah, pensampelan yang dibuat JAS di tapak dan di dalam longkang terlibat dilakukan bagi mengenal pasti jenis sisa tersebut dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

“Pihak MPS akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tapak merujuk kepada analisis sampel kandungan bahan di dalam tangki tersebut sekiranya ianya bukan Bahan Terjadual.

“Manakala kontraktor yang dilantik oleh pihak JAS akan melakukan kerja-kerja pembersihan tersebut sekiranya kandungan sisa di dalam tangki tersebut disahkan sebagai Bahan Terjadual.

“Pihak Luas melakukan pensampelan di lokasi bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Enakmen Luas 1999,” katanya.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletakkan sebanyak 10 beg Activated Carbon (AC) di kawasan longkang terlibat sebagai langkah kawalan dan pencegahan di tapak.

Katanya, sebanyak 10 beg Activated Carbon (AC) telah diletakkan Luas di kawasan longkang terlibat sebagai langkah kawalan dan pencegahan di tapak.

“Pensampelan bau juga telah dilaksanakan Luas di lokasi dan mencatatkan bacaan 0 ton.

“Luas telah memulakan pemantauan rapi di dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini di lokasi terlibat.

“Ia bagi memastikan potensi dan risiko aliran pencemaran dicegah dan dikawal sehingga keputusan analisis JAS diterima dan pembersihan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Luas membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79 Enakmen Luas 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.

“Kerajaan Negeri Selangor, Luas dan agensi-agensi terlibat tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air.

“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukkan Enakmen Luas 1999 dan peruntukan-peruntukan perundangan semua agensi negeri berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here