Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin bin Shari bercakap pada media berkenaan Majlis Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Foto AIZAT ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2024.

KLANG – Selangor akan memastikan Unit Bencana dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan persediaan penuh bagi menghadapi peralihan monsun yang telah bermula sejak dua hari lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sentiasa bersedia untuk kembali beroperasi bagi menempatkan mangsa sekiranya berlaku banjir.

“Kita akan perkemaskan usaha meningkatkan pengaliran saliran kecuali kadar hujan turun tinggi seperti sebelum ini.

“PPS yang lama kita akan kembali daftarkan dan kita akan gunakan parameter tahun 2021 untuk persediaan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Fasa peralihan monsun diramal melanda di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MeTMalaysia), cuaca berkenaan dijangka berterusan sehingga awal November.

Sementara itu, Amirudin berkata, tiada PPS dibuka susulan banjir kilat yang berlaku di Jalan Kebun semalam.

Jelasnya, ia kerana banjir di kawasan berkenaan hanya berlangsung dalam tempoh dua jam dan reda selepas itu.

“Maknanya kalau kadar hujan di Bawah 100mm (milimeter)  kita masih selamat semalam agak tinggi menyebabkan banjir kilat.

“Tapi keadaan semalam hanya berlangsung satu jam jadi tidak ada pemindahan mangsa masih terkawal,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here