Kumar mengadakan sidang akhbar Ops Cemar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahrru hari ini.

JOHOR BAHRU – Siasatan terperinci masih dilakukan untuk mengesan pihak yang menyebabkan beberapa sungai di daerah ini dicemari dengan sisa buangan, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek akan dikenakan tindakan undang-undang sama seperti lima suspek yang menyebabkan pencemaran di Kota Tinggi, 4 September lalu.

Menurutnya, lima suspek termasuk seorang pengarah dan pemegang saham sebuah kilang di Seri Alam di sini dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini.

“Amaran keras kita diberikan supaya insiden kes pencemaran melibatkan pembuangan sisa kilang di Lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, Kota Tinggi tidak berulang.

“Ini adalah mesej kepada semua bahawa pihak polis akan mengambil tindakan tegas dan si pelaku jenayah terhadap elemen pencemaran sungai akan berdepan dengan akta ini.

“Ekoran perbuatan di lombong tersebut telah mengakibatkan kawasan sungai dan loji berdekatan mengalami pencemaran.

“Ini menyebabkan 38 penduduk setempat mengalami simptom pedih mata, muntah, cirit-birit dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar Ops Cemar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Pencemaran bau kimia mula dikesan di beberapa kawasan sekitar Tebrau di sini pada 3 September lalu diikuti di kawasan sekitar Skudai dan Kempas selain dikesan di Kota Tinggi.

Mengulasn lanjut, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan mengesahkan kejadian pencemaran di Johor Bahru tidak berkait dengan kejadian pencemaran di Kota Tinggi.

Hari ini, seorang pengarah dan pemegang saham sebuah kilang dihadapkan ke  Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan bersubahat menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 September lalu.

Dalam pertuduhan berasingan, tiga tertuduh lain pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air manakala empat lagi yang ditangkap dibebaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here