Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga kanan), Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua kanan) dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (kanan) merasmikan Program Gegar Jejak Kerjaya MyFutureJobs Orang Mahkota 2024 di Tapak Bazar Uptown, Kluang. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh kira-kira 30 syarikat sepanjang dua hari berlangsungnya program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs Orang Mahkota 2024, di sini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah peluang pekerjaan yang ditawarkan itu menunjukkan program yang dianjurkan dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan platform terbaik dalam memadankan majikan dan pencari kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berucap pada Program Gegar Jejak Kerjaya MyFutureJobs Orang Mahkota 2024 di Tapak Bazar Uptown, Kluang. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2024

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia akan terus menggalakkan penganjuran program sedemikian pada masa depan dalam memastikan dapat terus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

“Ketika ini di bawah Kesuma (Kementerian Sumber Manusia), kadar pengangguran adalah pada 0.1 peratus berbanding 2.4 peratus sebelum ini.

“Jika program seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa, kita yakin kadar pengangguran dalam kalangan rakyat akan terus menunjukkan penurunan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs Orang Mahkota 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama para hadirin yang hadir pada Program Gegar Jejak Kerjaya MyFutureJobs Orang Mahkota 2024 di Tapak Bazar Uptown, Kluang. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2024

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (HAWA Malaysia), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Program itu dianjurkan Kesuma menerusi agensi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama HAWA Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Abdul Rahman, pihaknya juga sedang menyusun akta berkaitan kebajikan pekerja gig bertujuan memastikan persekitaran kerja yang baik buat pekerja ekonomi gig.

“Kita percaya usaha ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, HAWA Malaysia teruja kerana diberi peluang untuk menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berteraskan kepentingan rakyat termasuk menerusi penganjuran program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs.

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berucap pada Program Gegar Jejak Kerjaya MyFutureJobs Orang Mahkota 2024 di Tapak Bazar Uptown, Kluang. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2024

Ujar beliau, adalah mustahak untuk kerajaan hari ini turut mengangkat peranan NGO seperti HAWA Malaysia dalam sebarang agenda negara memandangkan pertubuhan tesebut mempunyai rangkaian yang luas dan dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kerajaan mesti memasukkan suara NGO dalam perancangan dan pelaksanaan dasar negara kerana landskap hari ini juga sudah berubah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga melahirkan rasa gembira kerana program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs yang dianjurkan itu berjaya menarik pencari kerja bukan sahaja di DUN Mahkota, malah dari seluruh Parlimen Kluang sehingga ke Johor Bahru. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here